Siapakah Samiri Pengukir Patung Lembu Emas yang Berjaya Menyesatkan Bani Israil

Siapakah Samiri Pengukir Patung Lembu Emas yang Berjaya Menyesatkan Bani IsrailDalam surah Taha ada menyatakan kisah Nabi Musa dan kaumnya yang disesatkan oleh seorang lelaki misteri bernama Samiri semasa Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah SWT di Gunung Sinai.

Samiri digambarkan dalam al-quran sebagai lelaki yang bertanggungjawab mengukir patung sapi betina emas untuk menjadi bahan sembahan kaum Bani Israil. Patung sapi betina ini yang diukir oleh Samiri memiliki ‘kuasa’ ajaib sehingga mampu mengeluarkan kata-kata dan suara.

Akibat tertarik dengan patung tersebut, hampir seluruh kaum bani Israil lupa terhadap pesanan Nabi Musa untuk kekal menyembah Allah yang Esa.

Kesesatan kaum Bani Israil bagaimanapun tidak mampu ditangani oleh adik kandung Nabi Musa iaitu Nabi Harun. Diriwayatkan, sebelum Nabi Musa pergi ke Bukit Sina untuk bermunajat kepada Allah swt, Nabi Harun telah diamanahkan oleh Nabi Musa untuk membimbing kaumnya. Namun kedegilan kaum yang paling banyak diceritakan dalam al-Quran ini tidak mampu dinasihati oleh Nabi Allah Harun.

Bahkan, Harun as diherdik dan dicerca oleh kaumnya sendiri. Bergitulah hebatnya tipu helah Samiri yang mampu memperok-perandakan keimanan kaum Bani Israil. Maka, siapakah Samiri ini?

Ayat al-Quran yang menyatakan tentang Samiri:

Dalam surah Taha, ada merakamkan dialog dengan nada agak keras daripada Nabi Musa as terhadap lelaki kufur bernama Samiri.

Digambarkan, Samiri adalah lelaki yang cukup berani dan pandai berkata-kata sehingga dialog antara mereka berdua tidak menampakkan sebarang kekakuan atau ketakutan Samiri.

Samiri melontarkan kata-katanya dengan cukup yakin dan obsesi terhadap ilmunya.

95. (Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”

96. Ia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

97. Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap. (Surah Taha ayat 95-97)

Penjelasan Surah Taha ayat 95-97:

1. Ancaman Musa a.s.

Dalam ayat 95, Nabi Musa telah bertanya kepada Samiri dengan nada yang keras dan bersifat mengancam.

Kemudian, pada ayat 96, ahli tafsir muktabar seperti Ibnu Kathir(1301-1373) dan Ath-Tabari (838–923) berpendapat bahawa Samiri telah mendedahkan rahsia ilmu sihirnya. Pada ayat ‘Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka’ , Ibnu Kathir dalam tafsir ulungnya telah memberi penjelasan bahawa Samiri telah melihat Jibrail as datang dengan kuda tunggangannya, Haizum untuk membinasakan Firaun sedangkan kaum Bani Israil tidak melihatnya.

Besar kemungkinan ia terjadi semasa Nabi Musa dan Bani Israil melarikan diri secara besar-besaran daripada bumi Mesir. Akibat kekalutan tersebut, kaum Bani Israil yang beribu-ribu orang tidak menyedari kehadiran Jibrail yang menyerupai manusia.

2. Terbina patung sapi betina daripada jejak kuda Jibrail a.s.

Pada ayat “aku ambil segenggam dari kesan jejak rasul itu, kemudian aku mecampakkannya”, Ibnu Kathir memberi penjelasan yang antara lain membawa maksud bahawa jejak rasul tersebut adalah jejak kuda tunggangan Jibrail as. Ia diterima secara umum oleh ahli-ahli tafsir lain selepas Ibnu Kathir.

Manakala, apa dimaksudkan dengan “segengam dari kesan jejak rasul” itu adalah Samiri telah mengambil segenggam tanah yang dipijak oleh kuda Jibrail as.

Menurut ulama tafsir terkemuka, Mujahid, segenggam tanah bererti sepenuh tapak tangan dan genggaman itu dengan menggunakan ujung jari-jarinya.

Samiri kemudian menggunakan ilmu sihirnya untuk membentuk sapi emas yang mampu mengeluarkan suara.

3. Samiri dilaknat oleh Allah swt

Dalam ayat 97, ada ayat yang berbunyi, “Janganlah sentuh daku”. Menurut Ibnu Kathir, Samiri telah diusir daripada khalayak ramai sehingga beliau tidak mampu menyentuh orang lain dan orang lain pula tidak mampu menyentuhnya kerana khuatir akan menimbulkan kemudaratan kepada kedua-dua pihak.

Besar kemungkinan Samiri telah dilaknat Allah SWT dengan Allah SWT telah menurunkan penyakit merbahaya kepadanya seperti penyakit kusta atau wabak yang berjangkit. Menurut ulama tafsir lain seperti Ibnu Ishq dan Ath-Thabari, Samiri telah dihukum oleh Allah SWT atas kekafirannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Tambah mereka lagi, hukuman di akhirat pasti lebih dashyat dengan seksaan api neraka buat selama-lamanya.

Siapakah Samiri?

Penyusun kitab Siratu Rasulullah, Muhammad Ibnu Ishaq(704M-767M) meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra, beliau mengatakan,

“Samiri adalah seorang penduduk Bajarma dan dia berasal daripada kaum yang menyembah berhala. Dalam dirinya telah tertanam kecintaan kepada penyembahan terhadap patung dan berhala sapi.

Samiri menampakkan dirinya adalah pengikut Musa a.s. (Islam) di hadapan kaum Bani Israil namun hatinya bergelojak dengan kepercayaan nenek-moyangnya.

Menurut Muhammad Ibnu Ishaq, Samiri adalah nama panggilan bagi seorang individu kufur bernama Musa bin Zhufar.”

Qatadah ibnu al-Nu’man, salah seorang sahabat besar Rasulullah saw daripada golongan Ansar telah berkata, “Samiri berasal daripada negeri Samir (Sumaria atau Sumeria).”

Bagi ahli sejarah ketemporari, mereka berpendapat bahawa Samiri telah menyesatkan kaum Bani Israil dengan membina sama ada patung Hathor atau Apis. Kedua-dua patung tersebut adalah berhala sembahan masyarakat Mesir Purba.

Hathor adalah dewa perempuan yang menjadi sembahan turun temurun masyarakat Mesir Purba. Hathor digambarkan sebagai sapi betina dengan kepalanya dihiasi dengan cakera matahari.

Manakala Apis adalah patung sembahan berupa lembu jantan yang menjadi alat sembahan masyarakat Mesir Purba di wilayah Memphis. Berhala Hapis telah pun disembah sejak Dinasti Kedua kerajaan Mesir Purba.

Samiri adalah Dajal?

Terdapat dakwaan mengatakan Samiri adalah dajjal yang datang untuk menyesatkan kaum Bani Israil. Pendapat ini pertama kali disuarakan oleh pengarang buku terkenal, Muhammad Isa Dawud.

Identiti Samiri yang misteri dan dikatakan memiliki ilmu sihir yang tinggi membolehkan ia dikaitkan dengan al-Masih Dajjal. Sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan kerana samaada al-Quran atau hadis tidak terdapat satu pun yang mengatakan Samiri adalah Dajjal laknatullah.

Samiri versi kitab Taurat

Dalam kitab Taurat, Samiri yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah nabi Harun sendiri. Dalam kitab tersebut, Bani Israil dikatakan meminta nabi Harun untuk ‘mencipta’ tuhan untuk mereka.

Untuk memenuhi hasrat mereka, nabi Harun kemudian menyuruh bani Israil mengumpul subang emas untuk dileburkan menjadi sapi emas. Nabi Harun kemudian membina altar di hadapan sapi emas tersebut bagi tujuan penyembahan.

32:1 Ketika bangsa itu melihat, bahawa Musa mengundur-undurkan turun dari gunung itu, maka berkumpullah mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya: “Mari, buatlah untuk kami allah, yang akan berjalan di depan kami sebab Musa ini, orang yang telah memimpin kami keluar dari tanah Mesir–kami tidak tahu apa yang telah terjadi dengan dia. (Genesis 32:1)

Sepertimana kisah Samiri dalam al-Quran, nabi Harun telah dikatakan menyesatkan kaumnya sendiri dengan mengadakan pesta besar-besaran dihadapan sapi emas ajaib tersebut. Versi kitab Taurat ditolak bulat-bulat ajaran Islam. Ajaran Islam menolak versi tersebut kerana ia terang-terang menafikan martabat seorang Rasul Allah.

Sejak turun-temurun, orang Islam mempercayai bahawa sebuah formasi batuan seperti lembu di Mesir adalah patung yang diukir oleh Samiri. Benarkah ia adalah patung yang diukir oleh Samiri?

Dalam al-Quran, Allah swt telah jelas memberitahu dalam surah Taha ayat 97 bahawa Nabi Musa a.s. telah membakar patung tersebut menjadi keping-kepingan dan membuangnya ke dalam lautan.

97. Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.

Semoga bermanfaat diketahui dan difikir2 kan.

Allahu’alam… Wassalam. zulsegamat.wordpress.com

Agama2 yang diselewengkan oleh SAMIRI – UST AUNI MOHAMAD

error: Content is protected !!